Thursday, 25 August 2011

Isu Kad Kredit

Source  : Berita Harian On-Line
Wednesday, April 04, 2007
By  :  Mohd Azis Ngah dan Irwan Shafizan Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengadakan mesyuarat khas dengan bank bagi membincangkan isu pengawalan pengeluaran kredit kad yang dianggap terlalu agresif sehingga mendorong kepada penggunaan yang tidak sepatutnya.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mencari langkah terbaik mengawal dan menangani masalah berkenaan.

Katanya, langkah kawalan penggunaan kad kredit itu turut mengambil kira faktor kemudahan pemberian kad kredit kepada golongan muda.

"Kad kredit boleh menjahanamkan satu generasi jika tak dikawal. Ia ada temptation (godaan)," katanya ketika mengupas isu penyalahgunaan kad kredit di kalangan golongan muda hingga ramai yang bankrap.

Katanya, 60 peratus daripada pengguna kad kredit menggunakan kemudahan itu sebagai satu mekanisme untuk memudahkan urusan pembayaran tanpa perlu membawa wang tunai, manakala 40 peratus lagi membayar pada jumlah yang kecil setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya masih ada segelintir yang menyalahgunakan kemudahan itu sehingga nama mereka disenaraihitamkan oleh bank selepas gagal membayar hutang.

"Setakat ini, cuma 3.7 peratus yang menyalahgunakan kad kredit, walaupun masih terkawal, tetapi perlu diberi perhatian serius.

"Apa akan jadi kepada pengguna yang baru tamat belajar, tetapi sudah disenarai hitam, tak boleh buat pinjaman perniagaan, rumah dan macam-macam," katanya.

Katanya, langkah kawalan penggunaan kad kredit itu turut mengambil kira faktor kemudahan pemberian kad kredit kepada golongan muda.

"Saya berjanji akan berbuat demikian (kawalan), jadi (bank) tidak boleh terlalu agresif sangat mempromosikan kad kredit," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) mengenai isu promosi kad kredit berleluasa termasuk di pusat beli belah.

Nor Mohamed berkata, kementerian ada berbincang dengan Bank Negara bagi mencari jalan mengelakkan masalah itu berlarutan termasuk mengkaji kriteria dalam pemberian kad kredit.

Beliau berkata, setakat ini hanya 48 peratus daripada permohonan mendapatkan kad kredit diluluskan.

Sementara itu, menjawab isu sistem rekod CTOS yang dianggap sebagai mendera peminjam institusi kewangan yang dibangkitkan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh), Nor Mohamed berkata, kementerian sudah berbincang dengan pihak bank.

Katanya, orang ramai yang gagal mendapatkan pinjaman kewangan selepas bank menolak permohonan atas alasan disenaraihitamkan oleh CTOS Sdn Bhd (CTOS), diminta membuat aduan terus kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan ke atas bank yang didapati menggunakan CTOS sebagai rujukan utama dalam proses kelulusan pinjaman.

"Sekiranya (pemohon) ada bukti bank gunakan CTOS sebagai rujukan pinjaman, maklumkan pada kita, kita akan ambil tindakan," katanya.

Katanya, isu CTOS yang sering dibangkitkan banyak pihak sudah dibincang dengan pihak bank yang mana institusi kewangan berkenaan sudah memberi jaminan tidak akan membuat keputusan permohonan pinjaman berasaskan rekod CTOS.

"Saya ada berbincang dengan bank dan mereka (bank) beri jaminan, mereka beritahu saya CTOS bukan satu kaedah untuk buat keputusan bagi memberi pinjaman atau tidak.

"Bank beritahu, mereka ada Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS) yang disediakan oleh Bank Negara yang sentiasa dikemas kini," katanya.

No comments: