Wednesday 31 August 2011

Berhutang untuk Hari Raya?



KUCHING: Jangan sesekali berhutang dengan peminjam wang terutamanya ‘along’ semata-mata ghairah menyambut Hari Raya kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Katanya, amalan tersebut yang menyusahkan diri sendiri adalah amalan yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.
“Perkara ini saya dengar berlaku setiap tahun… saya sudah ingatkan jangan berhutang dan berbelanja mengikut kemampuan sendiri.
“Kalau kita mampu beli satu jenis kuih, kita belilah satu jenis kuih dan kalau kita hanya mampu membeli air mineral, janganlah pula kita membeli air berkarbonat,” kata Daud ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang isu ramai orang yang berhutang dengan peminjam wang untuk membuat persiapan Hari Raya.
Katanya apa yang lebih teruk ada sesetengah yang berhutang bukan untuk perkara yang perlu tetapi semata-mata untuk menunjuk-nunjuk bahawa mereka mampu.
“Janganlah kita berhutang kerana kalau diikutkan, sampai raya tahun depan pun tak habis hutang kita untuk dibayar,” nasihatnya.
Semetara itu Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Wan Zain Syed Mohdzar yang turut dihubungi berkata, biarpun premis-premis peminjam wang tersebut berlesen, namun kaedah operasinya hampir sama seperti ‘along’.
Menurutnya, agama Islam sendiri tidak pernah mengajar umatnya untuk menyambut Hari Raya secara besar-besaran.
Jelasnya, agama Islam sentiasa mengajar umatnya untuk mempraktikkan kesederhanaan walau dalam apa jua situasi.
Tambahnya, apa yang menyedihkan adalah ada juga sesetengah orang yang sanggup bergadai harta seperti emas semata-mata mencari wang untuk menyambut Hari Raya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu menurut nafsu kerana ia adalah bercanggah dengan tujuan sebenar menyambut Hari Raya.
Sabtu lalu, Utusan Borneo memperolehi maklumat daripada syarikat pinjaman di sekitar bandar raya ini yang menunjukkan ramai orang Islam memohon pinjaman bagi menampung perbelanjaan dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Namun demikian, jumlah sebenar peminjam yang membuat pinjaman tidak dapat dipastikan.

Thursday 25 August 2011

Kad Kredit ke Bajet 2010

MASALAH kad kredit adalah antara isu yang diberikan perhatian dalam mesyuarat Kumpulan Fokus Bagi Sektor Kewangan bagi penyediaan Bajet 2010.


MASALAH kad kredit adalah antara isu yang diberikan perhatian dalam mesyuarat Kumpulan Fokus Bagi Sektor Kewangan bagi penyediaan Bajet 2010.


Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang mempengerusikan mesyuarat itu dalam ucapannya berkata, peningkatan hutang kad kredit masih membimbangkan di sebalik pelbagai langkah yang diambil termasuk penubuhan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).


Beliau berkata, kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) bagi hutang kad kredit sehingga April lalu adalah berjumlah RM580 juta mewakili 2.3 peratus daripada jumlah keseluruhan NPL sistem perbankan.


Bilangan yang muflis kerana hutang kad kredit pula, katanya adalah seramai 550 orang, iaitu empat peratus daripada bilangan yang diisytiharkan muflis tahun lalu.


“Berdasarkan keadaan ini, institusi perbankan mungkin perlu menimbang untuk mengenakan kriteria lebih ketat dalam mengeluarkan kad kredit,” katanya.


Selain isu hutang kad kredit, mesyuarat itu turut membincangkan beberapa isu lain termasuk jurang antara kadar pinjaman asas (BLR) dengan kadar faedah deposit; perbezaan layanan antara kemudahan kewangan Islam dan konvensional; kurangnya penerokaan dalam pasaran insuran hayat dan takaful serta penggunaan dana insurans; dan keperluan untuk meningkatkan promosi amanah pelaburan hartanah (REITs), saiz dana modal teroka dan kekurangan dana pen-cen swasta.


Awang Adek berkata, dalam sektor kewangan Islam, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

“Antara inisiatif terkini adalah membenarkan dua syarikat perbankan Islam asing serta syarikat takaful keluarga (beroperasi di Malaysia) dan meningkatkan had pemilikan ekuiti asing kepada 70 peratus daripada 40 peratus dalam institusi perbankan Islam tempatan serta syarikat takaful,” katanya.

Beliau berkata, dalam pasaran insurans, wujud jurang yang besar dari segi paras penerokaan antara insurans hayat dan takaful yang masing-masing hanya berada pada kadar 40.8 peratus dan 7.9 peratus, berbanding 80 peratus di negara maju.


Mesyuarat Kumpulan Fokus Sektor Kewangan itu adalah antara 18 mesyuarat dijadual diadakan untuk dijadikan sebagai input dalam penyediaan bajet 2010.


Setakat ini lapan mesyuarat telah diadakan. Selain sektor perbankan, isu lain termasuk berkaitan perusahaan kecil dan sederhana, pelaburan langsung asing, industri halal, teknologi komunikasi dan maklumat, perkhidmatan jalur lebar, keperluan rakyat, pelancongan dan pertanian.


Awang Adek berkata, Kementerian Kewangan akan mengadakan 10 lagi mesyuarat yang akan dimuktamadkan menjelang akhir bulan ini.


Sumber : Berita Harian

Isu Kad Kredit

Source  : Berita Harian On-Line
Wednesday, April 04, 2007
By  :  Mohd Azis Ngah dan Irwan Shafizan Ismail

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan mengadakan mesyuarat khas dengan bank bagi membincangkan isu pengawalan pengeluaran kredit kad yang dianggap terlalu agresif sehingga mendorong kepada penggunaan yang tidak sepatutnya.

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata perbincangan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi mencari langkah terbaik mengawal dan menangani masalah berkenaan.

Katanya, langkah kawalan penggunaan kad kredit itu turut mengambil kira faktor kemudahan pemberian kad kredit kepada golongan muda.

"Kad kredit boleh menjahanamkan satu generasi jika tak dikawal. Ia ada temptation (godaan)," katanya ketika mengupas isu penyalahgunaan kad kredit di kalangan golongan muda hingga ramai yang bankrap.

Katanya, 60 peratus daripada pengguna kad kredit menggunakan kemudahan itu sebagai satu mekanisme untuk memudahkan urusan pembayaran tanpa perlu membawa wang tunai, manakala 40 peratus lagi membayar pada jumlah yang kecil setiap bulan.

Bagaimanapun, katanya masih ada segelintir yang menyalahgunakan kemudahan itu sehingga nama mereka disenaraihitamkan oleh bank selepas gagal membayar hutang.

"Setakat ini, cuma 3.7 peratus yang menyalahgunakan kad kredit, walaupun masih terkawal, tetapi perlu diberi perhatian serius.

"Apa akan jadi kepada pengguna yang baru tamat belajar, tetapi sudah disenarai hitam, tak boleh buat pinjaman perniagaan, rumah dan macam-macam," katanya.

Katanya, langkah kawalan penggunaan kad kredit itu turut mengambil kira faktor kemudahan pemberian kad kredit kepada golongan muda.

"Saya berjanji akan berbuat demikian (kawalan), jadi (bank) tidak boleh terlalu agresif sangat mempromosikan kad kredit," katanya ketika menggulung perbahasan mengenai kementeriannya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) mengenai isu promosi kad kredit berleluasa termasuk di pusat beli belah.

Nor Mohamed berkata, kementerian ada berbincang dengan Bank Negara bagi mencari jalan mengelakkan masalah itu berlarutan termasuk mengkaji kriteria dalam pemberian kad kredit.

Beliau berkata, setakat ini hanya 48 peratus daripada permohonan mendapatkan kad kredit diluluskan.

Sementara itu, menjawab isu sistem rekod CTOS yang dianggap sebagai mendera peminjam institusi kewangan yang dibangkitkan oleh Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh), Nor Mohamed berkata, kementerian sudah berbincang dengan pihak bank.

Katanya, orang ramai yang gagal mendapatkan pinjaman kewangan selepas bank menolak permohonan atas alasan disenaraihitamkan oleh CTOS Sdn Bhd (CTOS), diminta membuat aduan terus kepada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kementerian akan mengambil tindakan ke atas bank yang didapati menggunakan CTOS sebagai rujukan utama dalam proses kelulusan pinjaman.

"Sekiranya (pemohon) ada bukti bank gunakan CTOS sebagai rujukan pinjaman, maklumkan pada kita, kita akan ambil tindakan," katanya.

Katanya, isu CTOS yang sering dibangkitkan banyak pihak sudah dibincang dengan pihak bank yang mana institusi kewangan berkenaan sudah memberi jaminan tidak akan membuat keputusan permohonan pinjaman berasaskan rekod CTOS.

"Saya ada berbincang dengan bank dan mereka (bank) beri jaminan, mereka beritahu saya CTOS bukan satu kaedah untuk buat keputusan bagi memberi pinjaman atau tidak.

"Bank beritahu, mereka ada Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS) yang disediakan oleh Bank Negara yang sentiasa dikemas kini," katanya.

Wednesday 24 August 2011

Kes Muflis dan Bankrap semakin meningkat



Kerajaan bakal mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 dalam usaha membantu mereka yang diisytiharkan bankrap meneruskan hidup tanpa bebanan hutang. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bahawa kajian semula akta itu memberikan kelonggaran kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) untuk melepaskan mereka daripada masalah kebankrapan sesuai dengan kemampuan dan kehendak perniagaan semasa.

Sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan cara berhemah, negara bakal mengalami kerugian besar disebabkan banyak rakyat khususnya ahli perniagaan diisytiharkan bankrap oleh JIM kerana gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman bank dan sebagainya. Tambahan pula, JIM seharusnya tampil sebagai sebuah badan yang lebih dinamik untuk mentadbir harta orang yang bankrap.

Kajian semula Akta Kebankrapan 1967 dapat membantu JIM memudahkan segala urusan kebankrapan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat yang kurang berkemampuan. Tugas JIM tidak boleh dilihat semata-mata membankrapkan orang dan tanggapan negatif ini harus dihapuskan dalam menjaga integriti JIM.

Menurut Nazri lagi, antara persepsi negatif terhadap JIM yang disering dilaporkan adalah tidak proaktif, lambat, tidak menyumbang kepada pembangunan, dan mengamalkan budaya kerja lama. Setakat ini sejumlah 5886 kes berjaya dilepaskan daripada bankrap atas budi bicara Ketua Pengarah JIM. Budi bicara dimaksudkan ialah orang yang bankrap membayar pinjaman secara berterusan lebih daripada lima tahun dan mereka memberikan kerjasama yang baik kepada JIM.

Untuk rekod, JIM mentadbir 64 072 kes kebankrapan sejak Januari 2005 hingga Jun 2009. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula sebanyak 7521 kes dikendalikan oleh mereka.

Antara punca utama yang melibatkan kebankrapan ialah hutang cukai pendapatan (660 kes), pinjaman perniagaan (6949 kes), sewa beli kenderaan (15 176 kes), penjamin korporat (3566 kes), penjamin sosial (2768 kes), hutang kad kredit (3767 kes), pinjaman pelajaran (138 kes), pinjaman peribadi (6129 kes) dan lain-lain (20 795 kes).

Tuesday 23 August 2011

Pertanian asas perniagaan

Pertanian Adalah Perniagaan
 
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Kerajaan telah menguar-uarkan tentang aspek memperkasakan pertanian baru. Ia bukan sahaja merangkumi aspek pertanian komersial dan bioteknologi, malah turut menekankan aspek pertanian sebagai satu perniagaan.

Transformasi ini memerlukan pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi usahawan bagi menerajui usaha merevolusikan bidang pengeluaran makanan dalam sektor pertanian.

Kerajaan sentiasa berusaha mencari inisiatif baru dalam membangunkan sektor pertanian dan industri berasaskan tani demi memastikan pembangunan bidang terbabit seiring arus transformasinya. Justeru, pembangunan infrastruktur pertanian juga diberi keutamaan bagi memastikan pengusaha dapat memaksimumkan hasil yang diperoleh dan bergerak ke arah menjadi usahawan tani yang berjaya dan profesional.

Banyak program dan aktiviti dianjurkan bertujuan melahirkan Usahawan Tani supaya mereka menerajui perancangan untuk mengkomersialkan pengeluaran makanan di dalam sektor pertanian bagi menambah produktiviti dan daya saing dalam dunia perniagaan yang kian kompetitif dan global.

Kerajaan mahu supaya golongan petani membuat anjakan paradigma dan menanam dalam minda masing-masing bahawa sektor pertanian harus diuruskan sebagai satu entiti perniagaan.
Sesungguhnya, masih belum terlambat untuk anda menceburkan diri dalam bidang yang dianggap satu kaedah menjana pendapatan lumayan. Jadi, apa tunggu lagi. Rebutlah peluang keemasan ini!

Kelonggaran syarat pinjaman

KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Pemaju Hartanah Melayu Malaysia (PPHMM) berharap agar bank dapat memudahkan syarat pinjaman kepada ahli-ahlinya yang ingin memajukan tanah rizab Melayu.
Presiden PPHMM, Mohd. Wari Mat Zaki berkata, kesukaran mendapatkan pinjaman bank telah menjejaskan kelancaran projek pembangunan di tanah rizab Melayu.
"Kami berharap agar agensi kerajaan yang terlibat dapat membantu memudahkan ahli persatuan mendapat pinjaman dan seterusnya memajukan tanah rizab Melayu untuk membantu orang Melayu menikmati kehidupan yang lebih baik kerana kami dapat menawarkan harga hartanah yang mampu milik khususnya kepada orang Melayu itu sendiri," katanya.
Tanah rizab Melayu yang susut nilai sebanyak 20 peratus telah menyebabkan bank susah untuk meluluskan pinjaman kepada pemaju bumiputera, katanya.
Mohd. Wari berkata, PPHMM menganggarkan nilai pembangunan tanah rizab Melayu sekitar RM5 bilion dan dari jumlah itu RM1 bilion terdapat di sekitar Lembah Klang.
"Nilai yang besar ini dapat diagihkan kepada para pengusaha Bumiputera seperti kontraktor kecil jika bank dapat melonggarkan syarat pinjaman kepada ahli persatuan.
"Jika hal ini dapat direalisasikan, kami mejangkakan dalam masa dua tahun nilai kasar pembangunan yang bernilai RM1 bilion dapat diselesaikan," kata Mohd Wari pada satu sidang media di sini hari ini.
Selain itu, PPHMM juga berharap agar dana dan projek perumahan dari kerajaan dapat diserahkan kepada persatuan supaya persatuan dapat mengagihkan kepada ahli-ahlinya yang layak dan persaingan sihat dapat diamalkan.
"Kami juga mohon agar PPHMM ini dapat diletakkan dibawah seliaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kami dapat bersaing dengan syarikat besar seperti syarikat Kerajaan dan seterusnya dapat memajukan para pemaju Bumiputera," katanya. - BERNAMA

Kesukaran mendapatkan pinjaman

KUALA LUMPUR 27 Julai- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama SME Corporation (SME Corp.) mengadakan majlis pertemuan dengan usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang pernah memenangi anugerah-anugerah seperti Enterprise 50 (E50), Anugerah Inovasi PKS dan InnoCERT serta Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI).

Pertemuan yang diadakan secara santai semasa jamuan makan tengahari, 25 Julai itu memberi kesempatan kepada PKS-PKS terpilih untuk meluahkan masalah dan isu berbangkit semasa mereka menjalankan perniagaan di dalam dan luar negara kepada MITI.

Antara perkara yang dibangkitkan adalah kesukaran mendapatkan pinjaman daripada bank dan institusi kewangan tempatan walaupun pada dasarnya ia bukan satu masalah besar kerana mereka merupakan pemenang-pemenang anugerah peringkat tempatan malah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Justeru, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kementerian akan menemukan usahawan-usahawan terbabit dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta membincangkan masalah-masalah tersebut.

"Kami akan bawa syarikat-syarikat ini berjumpa BNM serta institusi-institusi kewangan dan bank- bank di bawahnya untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu ini.

''Mereka ini adalah syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria untuk mendapat pinjaman ditambah pula dengan pengiktirafan-pengiktirafan yang telah diterima dari dalam dan luar negara, agak menghairankan apabila bank dan institusi kewangan sukar untuk meluluskan pembiayaan," katanya selepas majlis pertemuan di antara MITI dan pemenang-pemenang anugerah E50, Anugerah Inovasi PKS dan InnoCERT serta AKI di sini baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Datuk Hafsah Hashim.

Dalam pada itu, Hafsah berkata, SME Corp. akan turut serta di dalam pertemuan di antara MITI, PKS tempatan serta BNM nanti.

Terdahulu di dalam ucapannya, Mustapa berkata, kerajaan menerusi MITI dan agensinya sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan daya saing PKS-PKS tempatan serta menyediakan kemudahan bersesuaian bagi membantu mereka terus maju di dalam iklim perniagaan yang mencabar.

Tambah beliau, maklum balas yang diterima daripada pegawai-pegawai kementerian menunjukkan anugerah-anugerah yang diberi kepada PKS-PKS tempatan diiktiraf oleh pelanggan.

Ini kerana syarikat-syarikat tersebut telah melalui ujian yang ketat dan sistematik sebelum diangkat sebagai juara.

Ia sekali gus dapat membantu PKS-PKS ini memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing selain mempromosikan jenama mereka.

Kebimbangan harga rumah meningkat


MINGGUAN: Sejauhmana seriusnya trend pemaju perumahan membina rumah mewah dan sederhana mewah di seluruh negara?


S.M. Mohamed: Jika kita merujuk kepada data atau statistik pasaran perumahan pada masa ini, saya boleh katakan ia sudah pada tahap ‘menakutkan’. Harga rumah melambung pada paras yang mungkin kita tidak pernah fikir lima atau sepuluh tahun lalu. Keadaan ini cukup membimbangkan kerana ia memberi kesan bukan sahaja kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi juga yang berpendapatan sederhana. Kita jangan lupa bahawa golongan ini mempunyai hak untuk memiliki rumah sendiri berdasarkan kemampuan kewangan mereka.


Kita boleh lihat sendiri bagaimana harga rumah meningkat kepada paras yang tinggi mencecah jutaan ringgit terutamanya di bandar-bandar utama sehingga golongan pertengahan sekalipun tidak mampu untuk memiliki rumah atau pangsapuri, apatah lagi golongan bawahan.


Kita lihat di Pulau Pinang misalnya, pada 2009, purata harga rumah mencecah sehingga RM540,000 iaitu lapan kali ganda purata pendapatan isi rumah. Di Kuala Lumpur pula purata harga rumah adalah RM390,000 iaitu enam kali purata pendapatan isi rumah. Angka-angka ini sangat menggerunkan, ia meningkat begitu mendadak dan saya tidak fikir ia akan berhenti selagi tindakan sewajarnya tidak diambil untuk mengekangnya.


Adakah pihak CAP menerima aduan orang ramai mengenai kebimbangan trend pembinaan rumah mewah ini? Mungkin ada kajian spesifik dibuat mengenainya?


S.M Mohamed: Ya, kita ada menerima rungutan daripada orang ramai mengenai perkara ini. Tetapi sebenarnya, rungutan mengenai harga rumah boleh boleh didengar di mana-mana. Ia seolah-olah menjadi satu fenomena baru. Kita pasti sudah biasa mendengar keluhan seseorang yang bimbang kerana masih tidak mempunyai rumah sendiri walaupun sudah berkeluarga. Sebab itu saya lebih gemar menggunakan istilah ‘menakutkan’ dalam soal harga rumah yang melambung secara mendadak. 


Begitu juga tekanan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah dan sederhana apabila memikirkan trend harga rumah yang terus meningkat secara mendadak sehingga mereka tidak bersedia walaupun untuk merancang membeli sebuah rumah. 


Saya tertarik dengan kajian Institut Kajian Sosioekonomi dan Alam sekitar (SERI) yang mendedahkan banyak isu membabitkan trend pembinaan rumah mewah yang nampaknya semakin tidak terkawal. Antara hasil kajian tersebut adalah mengenai purata harga rumah di Pulau Pinang dan Lembah Klang yang sudah mencecah antara RM300,000 hingga RM500,000 pada 2009. Jumlah ini jauh berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan isi rumah. 


Jika data dan statistik ini mahu dijadikan ukuran, bayangkan berapa harga rumah dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang? Ketika itu berapa ramai golongan berpendapatan rendah dan sederhana mampu atau bersedia memiliki rumah pada kadar yang bersesuaian dengan pendapatan mereka.

Indeks harga rumah di Malaysia dalam tempoh 10 tahun lalu menunjukkan peningkatan yang sangat ketara. Apa sebenarnya mendorong peningkatan itu?


S.M Mohamed: Indeks itu bukan sahaja menunjukkan peningkatan tetapi ia sangat ketara. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Biasanya, harga menjadi tinggi kerana bekalan tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan. Tetapi berdasarkan data daripada Banci Perumahan dan Penduduk Malaysia, terdapat lebih banyak unit rumah berbanding jumlah isi rumah.

Pada tahun 2000 misalnya, jumlah kekosongan unit rumah yang tidak didiami atau diduduki di seluruh Malaysia ialah dalam lingkungan 15.6 peratus. Angkanya lebih tinggi di Melaka iaitu 24.5 peratus; Pulau Pinang, 23.5 peratus manakala Kuala Lumpur 15.9 peratus. Data itu juga menunjukkan, terdapat 67 peratus unit rumah terutamanya di kawasan bandar adalah kosong kerana ia baru disiapkan sama ada untuk dijual atau disewa.

Ini memberi gambaran bahawa ramai membeli hartanah semata-mata untuk pelaburan dan spekulasi pasaran yang akhirnya menyebabkan harga rumah melambung tinggi. Dalam erti kata lain, penawaran dan permintaan tidak lagi sepadan. Manipulasi ini menyebabkan ramai orang yang kurang berkemampuan akan menjadi mangsa. Sehingga ada yang terpaksa berhempas-pulas mencari wang walaupun hanya ingin membeli sebuah rumah.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) mendakwa harga tanah yang tinggi serta permintaan melambung dari pembeli luar menyebabkan harga rumah meningkat sedangkan insentif disediakan untuk membina rumah kos rendah dan sederhana. Komen anda? 


S.M Mohamed: Secara umum, pendirian REHDA itu ada benarnya. Tetapi kita perlu ambil kira juga punca harga tanah boleh meningkat. Rakyat mahukan rumah yang mampu dimiliki tetapi isunya sekarang adalah pemaju membina rumah yang tidak mampu dibeli oleh mereka. Ini berlaku apabila pemaju lebih cenderung memenuhi permintaan pelabur dan spekulator yang membeli rumah untuk disewakan atau menaikkan harganya untuk mengaut keuntungan. Tidak hairanlah apabila golongan spekulator dan pelabur ini memiliki dua buah rumah atau lebih.

Kebiasaannya, pemaju memberi keutamaan dan menyimpan unit terbaik kepada pelabur atau spekulator yang membeli unit berganda sebelum projek siap atau dilancarkan. Bila sudah siap, pembeli biasa kemudiannya terpaksa beratur dan menerima saki-baki unit rumah atau membelinya daripada pelabur-pelabur tadi dengan harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menunjukkan ketidakadilan terhadap pembeli rumah yang kurang berkemampuan. Pendek kata, kitaran pasaran tidak memihak kepada mereka.


Dalam isu ini juga, pemaju sanggup ke luar negara untuk memasarkan atau mempromosikan hartanah mereka kerana mereka boleh membuat untung memandangkan harga rumah di negara kita jauh lebih murah mengikut pasaran antarabangsa. Keadaan menjadi lebih rumit dengan pelaksanaan polisi kerajaan yang menggalakkan orang asing membeli rumah di Malaysia. Saya fikir program ini wajar diteliti semula kerana kita seolah-olah menidakkan hak orang tempatan untuk membeli rumah dengan kadar yang mereka mampu sedangkan orang asing mendapatkan aset pada harga yang murah berbanding di negara mereka sendiri.

Tidak seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand, Malaysia merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang membenarkan orang asing memiliki hartanah. Walaupun program tersebut lebih berorientasikan pelancongan tetapi ia sebenarnya menyumbang kepada perlumbaan pemaju untuk mendirikan rumah-rumah mewah sehingga memberi kesan terhadap nilai pasaran. Dalam soal ini, kita wajar bersikap adil kepada rakyat tempatan dengan memberi keutamaan kepada pembinaan rumah-rumah mampu milik.

Bagaimana pula peranan institusi kewangan dalam isu ini?


S.M Mohamed: Sebenarnya, bank turut menyumbang kepada kenaikan harga rumah melalui pelbagai strategi pemasaran yang agresif. Mereka melonggarkan piawaian kredit dan sanggup memberi pembiayaan lebih 95 peratus daripada nilai hartanah. Pihak bank juga membuat penawaran yang berubah-ubah berbanding pinjaman tetap. Ini dibuat untuk mengurangkan ansuran awal dalam persekitaran kadar faedah yang rendah. Begitu juga dengan kaedah memanjangkan tempoh kepada 40 tahun sehingga melampaui hayat bekerja peminjam. Ia mungkin memberi keselesaan untuk peminjam melunaskan pinjaman tetapi tempoh yang lama ini sebenarnya akan memberi bebanan jangka panjang dengan mengambil kira risiko pasaran yang tidak dapat dijangka.


Begitu juga dengan cadangan menawarkan pinjaman dua generasi yang boleh menjangkau sehingga 70 tahun. Kaedah ini sebenarnya membawa lebih banyak kesan negatif apabila peminjam digalakkan membebani generasi masa depan dengan hutang mereka sendiri. Melalui kaedah pinjaman sedia ada, mereka yang kaya mampu membeli lebih daripada satu unit rumah manakala mereka yang hanya mampu membeli seunit rumah terpaksa melakukannya dengan memanjangkan tempoh pinjaman dengan kadar yang tidak munasabah. Ini sebenarnya menjadi antara pendorong kepada peningkatan harga rumah.

Dalam Bajet 2011, kerajaan mengumumkan bahawa pembeli rumah pertama kali layak mendapat pinjaman 100 peratus. Turut diumumkan pengurangan 50 peratus duti setem untuk rumah berharga RM350,000 atau kurang. Walaupun diskaun duti setem boleh membantu, ia sepatutnya dihadkan kepada hanya pembeli pertama untuk menangani kegiatan spekulasi.

Pemberian pinjaman 100 peratus sebenarnya diragui memandangkan ia menggalakkan pinjaman berisiko di pihak bank dan pembeli yang tidak bertanggungjawab mungkin mengelak daripada membuat gadaian sekiranya harga rumah jatuh atau mereka tidak mampu membuat bayaran balik pinjaman. Dalam hal ini, polisi meletakkan beberapa ekuiti kepada pembeli rumah adalah tindakan yang lebih wajar.

Gaji minimum

SUBANG JAYA, 14 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap dasar gaji minimum dapat dilaksanakan sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata ini kerana beliau dimaklumkan oleh Kementerian Sumber Manusia bahawa Rang Undang-Undang Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan tidak lama lagi, seterusnya akan dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini.

"Kalau lulus rang undang-undang ini, maka kita akan wujudkan majlis tersebut, saya berharap sebelum penghujung 2011 gaji minimum akan dapat dilaksanakan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam sempena sambutan Hari Pekerja anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini malam Selasa.

Turut hadir ialah Presiden MTUC Mohd Khalid Atan, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan dan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Najib berkata selain dasar gaji minimum, beberapa perkara lain seperti elaun sara hidup (Cola), persaraan dan pekerja asing yang diutarakan oleh Mohd Khalid dalam ucapannya terdahulu akan dibawa ke majlis tersebut untuk diperhalusi secara mendalam.

"Apa yang dilontarkan oleh Presiden MTUC mendapat sokongan kerajaan, harus kita perjuangkan. Apa yang difikirkan baik oleh majlis itu akan dibawa kepada pertimbangan Menteri Sumber Manusia. Semua perkara ini amat wajar dihalusi secara mendalam supaya keputusan-keputusan kita nanti akan mendatangkan kebaikan untuk semua," katanya.

Beliau berkata kerajaan telah mengambil beberapa tindakan yang mencerminkan bahawa beliau amat memahami hasrat para pekerja dan menyelami permasalahan mereka seperti menaikkan gaji posmen dan pengawal keselamatan di atas paras kemiskinan.

Dalam pada itu, Najib turut menyifatkan MTUC sebagai "umbrella body" bagi kesatuan-kesatuan sekerja di negara ini kerana ia merupakan satu badan yang boleh memainkan peranan positif untuk menjaga kebajikan para pekerja.

"Kepada 12 juta para pekerja Malaysia, saya ucapkan tahniah kerana telah berjaya mentransformasikan negara dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dalam jangka masa hanya satu generasi sahaja," katanya.

Beliau berkata cabaran untuk pekerja, majikan, kerajaan dan rakyat termasuk penjawat awam dan pekerja swasta pada masa kini ialah untuk sama-sama menyumbang ke arah menjayakan transformasi negara kepada sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. "Bagi menjayakan wawasan negara dan bagi kita merealisasikan masa depan yang lebih baik dan lebih terjamin kepada para pekerja dan rakyat Malaysia pada keseluruhannya, maka kita perlu masing-masing berganding bahu sebagai satu pasukan negara Malaysia," katanya.

Najib berkata era di mana pekerja, majikan dan kerajaan selalu berada di dalam pendekatan bersifat konflik atau perbalahan secara terbuka pada tahun 60-an dan 70-an dahulu bukan lagi satu pendekatan realistik yang boleh menjamin pembangunan yang mapan dan kadar pertumbuhan yang tinggi.

"Sebaliknya pendekatan yang lebih wajar yang menjadi landasan dan ikutan kita ialah menjadikan ketiga-tiga pihak ini sebagai satu pasukan, dapat bergabung dalam satu perkongsian untuk mencari penyelesaian yang positif.

"Ini supaya kita saling beruntung, mendapat keuntungan dan rezeki yang lebih, majikan dapat menjalankan urusan mereka dengan baik dan kerajaan juga beruntung kerana negara bertambah lebih maju dan harmoni," katanya.

Beliau berkata hubungan itu merupakan yang paling ideal untuk merapatkan jurang perbezaan pendapat dan memperjuangkan hasrat dan tuntutan dengan kaedah yang sebaik-baiknya. "Jika apa yang dituntut kita itu adalah amat adil dan munasabah. Jika apa yang diminta oleh pekerja memang patut dipertimbangkan maka bagi saya tidak ada sebab kerajaan mahupun majikan harus ketepikan tuntutan itu," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan portal aduan pekerja yang dibangunkan dengan kerjasama Pergerakan Pemuda Umno.

-- BERNAMA

Krisis kenaikan harga barang



Punca kepada krisis sekarang adalah lebih kepada kegiatan spekulasi dalam pasaran komoditi dunia. Dengan kemerosotan dalam pelaburan kewangan dan hartanah, tumpuan para pelabur dan spekulator beralih kepada pelaburan komoditi.

Eksploitasi spekulasi mengakibatkan kenaikan harga melonjak mendadak dan ini memberikan isyarat yang salah kepada para pengeluar dan pembeli. Respons para pembeli yang membuat pembelian panik seterusnya menambahkan lagi kegawatan.

Tidak cukup dengan itu, kegiatan sorok barang oleh peniaga bagi mengaut keuntungan berganda terus menjadikan keadaan semakin parah. Faktor-faktor lain seperti kenaikan permintaan makanan dunia terutama dari China dan India, kegunaan bahan seperti jagung untuk bahan api bio, dan kemarau di Australia adalah punca-punca sampingan yang sederhana impaknya bagi masa sederhana dan panjang.

Petikan dari: Utusan Online oleh Mohd. Nahar Mohd. Arshad

Monday 22 August 2011

Jual mata untuk bayar hutang Ah Long





JOHOR BAHRU: “Ini ikhtiar akhir, saya mahu jual buah pinggang atau mata pada harga RM1 juta untuk melunaskan hutang along,” demikian luah ibu kepada dua anak berusia 35 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah di sini, semalam.

Suami Fatimah dikenali sebagai Ahmad, 39, terpaksa menanggung kadar bunga mencecah RM54,000 sejak September lalu melalui pinjaman RM30,000 untuk memulakan perniagaan, sudah tidak tahan lagi diganggu lelaki tidak dikenali yang sering datang ke kediamannya di Larkin di sini, bagi menuntut hutang terbabit.

Fatimah yang tidak bekerja berkata, dia sedar perbuatan menjual organ tubuh salah di sisi undang-undang, tetapi beranggapan ia jalan terakhir mampu dilakukannya bagi melunaskan hutang secepat mungkin.

“Saya melakukannya kerana tidak sanggup melarikan diri daripada buruan along selain kasihan dengan ibu yang sering menjadi mangsa maki-hamun lelaki tidak dikenali.


“Harga diletakkan pula memang tinggi kerana saya beranggapan selepas menjual organ, saya mungkin berdepan masalah kesihatan dan wang itu akan digunakan untuk membiayai kos sepanjang hayat,” katanya.
- hMetro

Terpaksa jual aset untuk lunaskan hutang

JOHOR BAHRU 2 Mac – Kira-kira 60 peratus kes membabitkan pinjaman menerusi ceti haram atau ah long yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah berpunca daripada tabiat berjudi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan berkata, keadaan itu mengakibatkan peminjam terpaksa menggunakan sumber pendapatan bagi melunaskan hutang dan selebihnya untuk keperluan asas termasuk membeli makanan.

Beliau berkata, bagi mengeluarkan peminjam daripada masalah tersebut, AKPK lazimnya akan menilai aset yang mereka miliki untuk membayar semula jumlah pinjaman.

“Apabila peminjam ah long datang ke AKPK, kita akan nasihatkan mereka untuk membuat bajet dan melaluinya kita akan cari jalan penyelesaian secepat yang boleh.

“Mungkin mereka kena jual aset untuk bayar balik pinjaman. Biasanya mereka yang mempunyai masalah ini jarang bercakap benar bahawa mereka meminjam wang daripada ah long,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (Power!) di Hotel Mutiara, di sini hari ini.

Program itu untuk mendidik setiap individu cara mengurus kewangan dengan baik sekali gus mengelakkan mereka dibelenggu masalah hutang keliling pinggang.

Mohamed Akwal berkata, selain masalah judi, peminjam juga biasanya meminjam daripada ah long kerana mengalami masalah kewangan dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, sejak 2006 hingga kini, seramai 142,574 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan hampir 54,116 pelanggan dibantu melalui program itu.

Menurutnya, sasaran program itu adalah golongan muda berumur antara 18 hingga 30 tahun dan ia menunjukkan keseriusan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama AKPK membendung masalah hutang isi rumah lebih awal sebelum ia berada di luar kawalan.

Beliau memberitahu, program itu akan diperkenal melalui laman web AKPK pada Jun atau Julai ini bagi memudahkan orang ramai mengaksesnya secara percuma.

Mohamed Akwal berkata, program itu akan diadakan di tujuh lokasi pada tahun ini iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.

Setakat ini, lebih 1,000 orang menyertainya iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka, katanya.
“Selepas ini kita akan adakan pula di Kota Kinabalu pada 9 Mac diikuti di Kuching (16 Mac) sebelum berakhir di Kuala Terengganu (30 Mac),” katanya.

Pasaran saham dijangka naik

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pasaran saham tempatan dijangka berada dalam arah aliran menaik selepas pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober nanti kerana dianggap sebagai Bajet Pilihan Raya.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank (AIB), Dr. Nazri Khan berkata, ini kerana inti pati jangka pendek dalam pembentangan itu menjadi penentu tarikh pilihan raya.

Beliau berkata, pasaran meramalkan Pilihan Raya kali ke-13 akan diadakan pada Februari dan Mac.

Katanya, tidak mungkin kerajaan mahu mengadakan pilihan raya ini pada November ini kerana ribuan umat Islam menunaikan haji di Mekah.

”Jadi, pada pandangan AIB, bulan Februari adalah masa terbaik untuk memasuki pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Malah, tambah beliau, pasaran dijangka terus teguh sekiranya terdapat petanda-petanda awal Barisan Nasional mampu mengekalkan penguasaan dua pertiga dan memiliki semula sekurang-kurangnya dua negeri yang ditakluk pembangkang.

Berdasarkan ramalan itu, AIB berpendapat arah aliran kenaikan pasaran sehingga 65 peratus akan berlaku secara konsisten dua bulan sebelum pengumuman pilihan raya.

Namun, katanya, kenaikan itu tidak mampu menandingi lonjakan sebelum Tahun Baru Cina yang mencapai 75 peratus.

Ditanya mengenai maklum balas pasaran terhadap kerajaan, Dr. Nazri berkata, setakat ini pasaran sangat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding ketika kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, beliau berkata, AIB meramalkan Bursa Malaysia akan berada dalam momentum positif untuk mencapai paras 1,630 mata hingga 1,650 mata pada tahun ini.

Tambahnya, AIB menyarankan pembelian bagi saham-saham perbankan, pembinaan serta minyak dan gas.

Beliau berkata, antara syarikat pembinaan yang mendapat perhatian pasaran ialah Gamuda kerana mendapat banyak manfaat daripada Program Transformasi Ekonomi dan MRCB pula bakal mengumumkan projek Sungai Buloh

Saham SP Setia dan Sun City dijangka turut menjadi perhatian kerana terlibat dalam projek-projek di Iskandar Malaysia, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

KWSP tidak cukup tampung kehidupan selepas bersara


Lebih 80% penjawat awam dibelenggu hutang

PUTRAJAYA: Lebih 80 peratus penjawat awam dibelenggu dengan hutang disebabkan gagal mengurus kewangan secara bijak terutama apabila keinginan melebihi kemampuan, ditambah kemudahan pembiayaan yang terlalu longgar.
Malah, ramai di kalangan mereka mengalami krisis kewangan yang lebih teruk sehingga jatuh bankrap, sekali gus menghadapi risiko hilang pekerjaan dan kelayakan mendapat bayaran pencen. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs), Datuk Omar Osman (gambar), berkata masalah itu disebabkan penjawat awam mudah mendapatkan pinjaman hingga mendatangkan masalah.
Menurutnya, memang ramai bersikap seperti itu lebih-lebih lagi apabila mendapati dirinya layak mendapat pinjaman.
“Beli kereta pun zero deposit pada penjawat awam. Ini sesiapa pun nak beli.
“Kadang-kadang ada yang menjadi penjamin kepada kawan yang hendak berniaga, sebab penjawat awam ini kalau jadi penjamin memang laku, tak kira gaji berapa, asalkan penjawat awam, boleh. “Kawan pula tak boleh buat apa-apa, perniagaan tak jalan, dia pun hilang dan yang menjadi mangsa penjamin, tak boleh lari,” katanya, kepada pemberita selepas majlis perasmian Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Kebankrapan dan Bantuan Guaman di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.
Berdasarkan laporan Jabatan Insolvensi ada seramai 1,086 penjawat awam bankrap pada 2009, dengan lebih 70 peratus adalah lelaki.
Omar berkata, angka berkenaan tinggi di kalangan penjawat awam, malah sepatutnya tidak berlaku kes seumpama itu.
“Kita nasihatkan penjawat awam kalau boleh kena tengoklah pendapatan bulanan kita dan berbelanja dengan kebijaksanaan.
“Janganlah sampai menghuru-harakan keluarga kita bila berlaku bankrap, berlaku perkara yang tidak diingini, kerana ini yang menjadi masalah.
“Nanti produktiviti, prestasi dan integriti mereka akan terjejas, kerana masalah kewangan boleh menyebabkan masalah lain,” katanya – harian metro

Merompak untuk menjelaskan hutang

POKOK SENA: “Jangan berhutang dengan along kerana along saya merana dan terpaksa merengkuk dalam penjara sepanjang hayat,” kata seorang banduan di Penjara Pokok Sena, di sini yang hanya dikenali sebagai Wee, berusia 40-an.

Dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah kerana melakukan kesalahan samun bersenjata api di sebuah kedai emas di Kuala Sanglang, Jitra pada Oktober 1999 bagi mencari wang untuk membayar hutang along.
Wee yang sudah 12 tahun merengkuk dalam penjara berkata, ketika itu dia amat tertekan berikutan sering diganggu along selepas gagal melunaskan hutang RM40,000 pada 1999, malah faedahnya semakin bertambah menjadikan jumlah yang perlu dibayar meningkat kepada RM70,000.
“Saya tertekan kerana along sering mengganggu saya dan keluarga membuatkan saya mengambil jalan mudah menyamun sebuah kedai emas di Kuala Sanglang, semata-mata untuk melunaskan hutang.

“Ketika itu saya tidak berfikir panjang hanya kerana mahu menyelesaikan masalah dengan along, tetapi nasib saya menjadi lebih buruk apabila terpaksa merengkuk dalam penjara seumur hidup,” katanya yang berasal dari Perlis ketika ditemui pada majlis perjumpaan dengan keluarga sempena Tahun Baru Cina di Penjara Pokok Sena, di sini, semalam.

Dia melakukan samun itu bersendirian dan melarikan sejumlah emas yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Wee berkata, nasib tidak menyebelahinya kerana selepas tiga hari melakukan jenayah samun itu, dia ditahan sepasukan anggota polis yang datang ke rumahnya. Dia yang menyesali perbuatannya itu berkata, kini tiada apa lagi yang dapat mengubah hidupnya untuk keluar daripada penjara melainkan pengampunan daripada Yang Di-Pertuan Agong ataupun memenangi kes rayuan.

“Saya berharap kejadian yang menimpa saya ini dapat dijadikan iktibar oleh orang di luar sana supaya tidak meminjam daripada along.

“Akibat terdesak untuk membayar hutang along saya melakukan jenayah. Bayangkan bagaimana kehidupan saya yang terpaksa menghabiskan sepanjang hayat dalam penjara ini, hanya disebabkan Ah Long,” katanya.

Kemelesetan ekonomi disebabkan gagal membayar hutang

WASHINGTON 15 Julai - Kegagalan kerajaan-kerajaan membayar semula hutang mereka boleh mengakibatkan kemelesetan ekonomi, menurut dua ahli ekonomi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam satu kajian.

''Kegagalan (membayar hutang) akan menyebabkan kemelesetan yang lebih teruk,'' kata Enrique Mendoza dan Vivian Yue dalam kajian itu.

Menurut mereka, secara purata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perbelanjaan jatuh kira-kira lima peratus, lebih rendah.

Tenaga buruh juga merosot kepada 15 peratus lebih rendah berbanding tiga tahun lalu sebelum kegagalan,'' kata mereka.

Mendoza dan Yue berkata, kesimpulan yang dibuat itu pada 23 contoh keingkaran berdaulat yang berlaku antara 1997 dan 2009, kebanyakan di Latin Amerika.

Kajian itu disiarkan tepat pada masa ketika pentadbiran Presiden Barack Obama memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengalami kegagalan dalam hutang-hutang sekiranya Kongres tidak bertindak menaikkan siling hutang pada 2 Ogos.

Wall Street dan organisasi antarabangsa telah memberi amaran kegagalan (membayar hutang) oleh AS - ekonomi terbesar dunia akan memberi kesan kepada sistem kewangan global.

Kongres pula buntu, bagaimanapun Republikan menolak untuk membenarkan kenaikan siling hutang kecuali melaksanakan pengurangan ketara dalam perbelanjaan kerajaan.

Tetapi, Demokrat berkeras sebarang rundingan mesti menaikkan cukai, cadangan yang ditentang Republikan.

Di Eropah, kerajaan-kerajaan zon euro bekerja keras untuk menangani kegagalan kedaulatan oleh Greece yang berpotensi mengalami kesan ketidakstabilan di seluruh benua. - AFP.

Bunuh Diri disebabkan hutang

TELUK INTAN – Gara-gara tidak mampu menanggung hutang yang menimbun, seorang suri rumah nekad membunuh diri dengan mengurung diri di dalam kereta yang dipenuhi asap ekzos kenderaan berkenaan di sini semalam.

Koh Guat Suan, 42, dari Taman Intan di sini ditemui mati di tempat duduk pemandu kereta Ford Laser dipercayai milik suaminya oleh orang awam yang berjoging di taman rekreasi berhampiran pada pukul 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian setelah dimaklumkan orang awam mendapati wanita itu sudah tidak bernyawa.

“Enjin kenderaan tersebut masih dihidupkan dan terdapat paip getah di bahagian tempat duduk belakang yang disambungkan dengan ekzos kenderaan itu.

“Sepucuk surat dalam bahasa Cina yang meluahkan kekecewaan mengenai masalah kewangan kronik yang ditanggung turut dijumpai di dalam kereta itu,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sehubungan itu, Kok Liang berkata, pihak polis percaya kematian Guat Suan bermotifkan bunuh diri dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Teluk Intan di sini untuk dibedah siasat.

Menurut beliau, pihak polis percaya kematian mangsa disebabkan terhidu gas monoksid dari ekzos kenderaan terbabit dan bukan mati dibunuh.

kredit : kosmo.com.my

Lelaki di kelar leher kerana hutang

TEMERLOH: Akibat hutang, seorang lelaki warga asing diserang sebelum ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila lehernya dikelar, kedua-dua tangan dan kepalanya ditetak menggunakan senjata tajam dipercayai parang, di kebun betik Jalan Ulu Ketam, Kerdau, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang tidak dikenal pasti identiti dan berusia dalam lingkungan 20-an, meninggal dunia di tempat kejadian dalam keadaan berseluar dalam.

Mayat mangsa ditemui beberapa orang awam yang dikatakan secara kebetulan melalui tempat kejadian sebelum menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, sepasukan anggota polis yang menerima panggilan bergegas ke tempat kejadian bersama Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik.

Menurutnya, polis tidak menemui sebarang identiti pada mangsa yang ditemui hanya berseluar dalam sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut oleh Pakar Patologi dari HTAA Kuantan mendapati terdapat empat kesan tetakan di kedua-dua tangan, belakang kepala, bahu kiri dan leher mangsa.



“Hasil bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa disahkan meninggal dunia akibat akibat putus urat tunjang leher. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu membabitkan hutang. Hasil maklumat dan siasatan awal, kami mahu mengesan seorang suspek bernama Riyan berusia 20-an,” katanya, semalam.

Menurutnya, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Riyan yang berasal dari Lombok, Indonesia dan berkulit sawo matang supaya tampil di IPD Temerloh untuk membantu siasatan.


Katanya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

sumber metro

Pelajar tunggu SPM hutang along RM100,000


JOHOR BAHRU: Akibat ketagihan judi melalui internet, seorang pelajar yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menanggung hutang kira-kira RM100,000 kepada along dan dihalau dari rumah oleh ibunya.

Remaja berkenaan bermain judi lumba kuda dan lumba anjing menerusi internet sejak beberapa bulan lalu selepas terpengaruh dengan rakan yang meraih kemenangan menerusi permainan itu.
Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay, berkata pada peringkat awal, ibunya menyangka remaja itu mengulang kaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan, tetapi dia sebenarnya menghabiskan masa seharian di depan komputer untuk bermain judi.
Bagaimanapun, katanya, perubahan sikap remaja terbabit, termasuk tidak mengendahkan makan dan minum, menimbulkan keraguan ibunya sehingga dia sendiri mengaku pembabitannya dengan judi serta hutang yang ditanggung.

“Ia mengecewakan ibunya dan menghalau remaja itu dari rumah mereka di sini dan membuat aduan kepada Biro Aduan Awam MCA. Ibunya memberitahu akibat kejadian itu, dia turut diugut along yang mengunjung premis niaganya sambil memberi amaran supaya anaknya melunaskan hutang,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Tabiat ketagihan judi itu adalah antara 19 aduan diterima biro berkenaan mengenai gejala judi internet sejak November tahun lalu sehingga awal bulan ini yang menular di kalangan pelajar dan remaja berusia awal 20-an, termasuk mereka yang sedang menunggu keputusan peperiksaan.

Selain itu, katanya, seorang kontraktor syarikat pasir bergelar Datuk hidup ketakutan akibat diugut along selepas terjebak dengan judi menerusi internet yang diperkenalkan rakannya sehingga berhutang RM700,000.

Tay berkata, pihaknya mendapati permainan judi internet mempunyai pasaran luas hingga ke Hong Kong dan Macau dengan menyasarkan individu daripada keluarga kaya kerana mereka yang ingin menyertainya disiasat latar belakang masing-masing oleh ejen perjudian.

Katanya, selepas disahkan layak menyertai perjudian, mereka dibekalkan kata laluan oleh ejen atau wakil permainan yang dilantik sebelum dicaj menerusi kad kredit sejurus mula berjudi menerusi laman web yang ditetapkan.

“Selalunya apabila mula berjudi, mangsa terperangkap dan susah berhenti jika menang. Apabila menang, mereka perlu menghubungi ejen terbabit untuk mendapatkan wang, namun jika kalah, mereka akan dituntut membayar secepat mungkin.

“Justeru, saya menasihatkan ibu bapa memantau anak mereka supaya tidak terjebak dalam permainan berkenaan yang bukan saja merugikan masa dan wang, malah membahayakan keselamatan diri dan ahli keluarga apabila menjadi buruan along,” katanya.