Monday 22 August 2011

Pasaran saham dijangka naik

KUALA LUMPUR 15 Julai – Pasaran saham tempatan dijangka berada dalam arah aliran menaik selepas pembentangan Bajet 2012 pada 7 Oktober nanti kerana dianggap sebagai Bajet Pilihan Raya.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank (AIB), Dr. Nazri Khan berkata, ini kerana inti pati jangka pendek dalam pembentangan itu menjadi penentu tarikh pilihan raya.

Beliau berkata, pasaran meramalkan Pilihan Raya kali ke-13 akan diadakan pada Februari dan Mac.

Katanya, tidak mungkin kerajaan mahu mengadakan pilihan raya ini pada November ini kerana ribuan umat Islam menunaikan haji di Mekah.

”Jadi, pada pandangan AIB, bulan Februari adalah masa terbaik untuk memasuki pasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Malah, tambah beliau, pasaran dijangka terus teguh sekiranya terdapat petanda-petanda awal Barisan Nasional mampu mengekalkan penguasaan dua pertiga dan memiliki semula sekurang-kurangnya dua negeri yang ditakluk pembangkang.

Berdasarkan ramalan itu, AIB berpendapat arah aliran kenaikan pasaran sehingga 65 peratus akan berlaku secara konsisten dua bulan sebelum pengumuman pilihan raya.

Namun, katanya, kenaikan itu tidak mampu menandingi lonjakan sebelum Tahun Baru Cina yang mencapai 75 peratus.

Ditanya mengenai maklum balas pasaran terhadap kerajaan, Dr. Nazri berkata, setakat ini pasaran sangat berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding ketika kerajaan di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, beliau berkata, AIB meramalkan Bursa Malaysia akan berada dalam momentum positif untuk mencapai paras 1,630 mata hingga 1,650 mata pada tahun ini.

Tambahnya, AIB menyarankan pembelian bagi saham-saham perbankan, pembinaan serta minyak dan gas.

Beliau berkata, antara syarikat pembinaan yang mendapat perhatian pasaran ialah Gamuda kerana mendapat banyak manfaat daripada Program Transformasi Ekonomi dan MRCB pula bakal mengumumkan projek Sungai Buloh

Saham SP Setia dan Sun City dijangka turut menjadi perhatian kerana terlibat dalam projek-projek di Iskandar Malaysia, Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

No comments: