Wednesday 24 August 2011

Kes Muflis dan Bankrap semakin meningkat



Kerajaan bakal mengkaji semula Akta Kebankrapan 1967 dalam usaha membantu mereka yang diisytiharkan bankrap meneruskan hidup tanpa bebanan hutang. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyatakan bahawa kajian semula akta itu memberikan kelonggaran kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM) untuk melepaskan mereka daripada masalah kebankrapan sesuai dengan kemampuan dan kehendak perniagaan semasa.

Sekiranya isu ini tidak diselesaikan dengan cara berhemah, negara bakal mengalami kerugian besar disebabkan banyak rakyat khususnya ahli perniagaan diisytiharkan bankrap oleh JIM kerana gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman bank dan sebagainya. Tambahan pula, JIM seharusnya tampil sebagai sebuah badan yang lebih dinamik untuk mentadbir harta orang yang bankrap.

Kajian semula Akta Kebankrapan 1967 dapat membantu JIM memudahkan segala urusan kebankrapan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat yang kurang berkemampuan. Tugas JIM tidak boleh dilihat semata-mata membankrapkan orang dan tanggapan negatif ini harus dihapuskan dalam menjaga integriti JIM.

Menurut Nazri lagi, antara persepsi negatif terhadap JIM yang disering dilaporkan adalah tidak proaktif, lambat, tidak menyumbang kepada pembangunan, dan mengamalkan budaya kerja lama. Setakat ini sejumlah 5886 kes berjaya dilepaskan daripada bankrap atas budi bicara Ketua Pengarah JIM. Budi bicara dimaksudkan ialah orang yang bankrap membayar pinjaman secara berterusan lebih daripada lima tahun dan mereka memberikan kerjasama yang baik kepada JIM.

Untuk rekod, JIM mentadbir 64 072 kes kebankrapan sejak Januari 2005 hingga Jun 2009. Manakala bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula sebanyak 7521 kes dikendalikan oleh mereka.

Antara punca utama yang melibatkan kebankrapan ialah hutang cukai pendapatan (660 kes), pinjaman perniagaan (6949 kes), sewa beli kenderaan (15 176 kes), penjamin korporat (3566 kes), penjamin sosial (2768 kes), hutang kad kredit (3767 kes), pinjaman pelajaran (138 kes), pinjaman peribadi (6129 kes) dan lain-lain (20 795 kes).

No comments: