Wednesday 31 August 2011

Berhutang untuk Hari Raya?



KUCHING: Jangan sesekali berhutang dengan peminjam wang terutamanya ‘along’ semata-mata ghairah menyambut Hari Raya kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman.
Katanya, amalan tersebut yang menyusahkan diri sendiri adalah amalan yang salah dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.
“Perkara ini saya dengar berlaku setiap tahun… saya sudah ingatkan jangan berhutang dan berbelanja mengikut kemampuan sendiri.
“Kalau kita mampu beli satu jenis kuih, kita belilah satu jenis kuih dan kalau kita hanya mampu membeli air mineral, janganlah pula kita membeli air berkarbonat,” kata Daud ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang isu ramai orang yang berhutang dengan peminjam wang untuk membuat persiapan Hari Raya.
Katanya apa yang lebih teruk ada sesetengah yang berhutang bukan untuk perkara yang perlu tetapi semata-mata untuk menunjuk-nunjuk bahawa mereka mampu.
“Janganlah kita berhutang kerana kalau diikutkan, sampai raya tahun depan pun tak habis hutang kita untuk dibayar,” nasihatnya.
Semetara itu Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Wan Zain Syed Mohdzar yang turut dihubungi berkata, biarpun premis-premis peminjam wang tersebut berlesen, namun kaedah operasinya hampir sama seperti ‘along’.
Menurutnya, agama Islam sendiri tidak pernah mengajar umatnya untuk menyambut Hari Raya secara besar-besaran.
Jelasnya, agama Islam sentiasa mengajar umatnya untuk mempraktikkan kesederhanaan walau dalam apa jua situasi.
Tambahnya, apa yang menyedihkan adalah ada juga sesetengah orang yang sanggup bergadai harta seperti emas semata-mata mencari wang untuk menyambut Hari Raya.
Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak terlalu menurut nafsu kerana ia adalah bercanggah dengan tujuan sebenar menyambut Hari Raya.
Sabtu lalu, Utusan Borneo memperolehi maklumat daripada syarikat pinjaman di sekitar bandar raya ini yang menunjukkan ramai orang Islam memohon pinjaman bagi menampung perbelanjaan dalam membuat persiapan Aidilfitri.
Namun demikian, jumlah sebenar peminjam yang membuat pinjaman tidak dapat dipastikan.

No comments: