KUALA LUMPUR 27 Julai- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan  Industri (MITI) dengan kerjasama SME Corporation (SME Corp.) mengadakan  majlis pertemuan dengan usahawan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang  pernah memenangi anugerah-anugerah seperti Enterprise 50 (E50),  Anugerah Inovasi PKS dan InnoCERT serta Anugerah Kecemerlangan Industri  (AKI).
 Pertemuan yang diadakan secara santai semasa jamuan makan tengahari,  25 Julai itu memberi kesempatan kepada PKS-PKS terpilih untuk meluahkan  masalah dan isu berbangkit semasa mereka menjalankan perniagaan di dalam  dan luar negara kepada MITI.
 Antara perkara yang dibangkitkan adalah kesukaran mendapatkan  pinjaman daripada bank dan institusi kewangan tempatan walaupun pada  dasarnya ia bukan satu masalah besar kerana mereka merupakan  pemenang-pemenang anugerah peringkat tempatan malah telah mendapat  pengiktirafan antarabangsa.
 Justeru, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri  Mustapa Mohamed berkata, kementerian akan menemukan usahawan-usahawan  terbabit dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta membincangkan  masalah-masalah tersebut.
 "Kami akan bawa syarikat-syarikat ini berjumpa BNM serta  institusi-institusi kewangan dan bank- bank di bawahnya untuk mencari  jalan penyelesaian kepada isu ini.
 ''Mereka ini adalah syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria untuk  mendapat pinjaman ditambah pula dengan pengiktirafan-pengiktirafan yang  telah diterima dari dalam dan luar negara, agak menghairankan apabila  bank dan institusi kewangan sukar untuk meluluskan pembiayaan," katanya  selepas majlis pertemuan di antara MITI dan pemenang-pemenang anugerah  E50, Anugerah Inovasi PKS dan InnoCERT serta AKI di sini baru-baru ini.
 Majlis itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa  dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif SME  Corp. Datuk Hafsah Hashim.
 Dalam pada itu, Hafsah berkata, SME Corp. akan turut serta di dalam pertemuan di antara MITI, PKS tempatan serta BNM nanti.
 Terdahulu di dalam ucapannya, Mustapa berkata, kerajaan menerusi MITI  dan agensinya sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan daya saing  PKS-PKS tempatan serta menyediakan kemudahan bersesuaian bagi membantu  mereka terus maju di dalam iklim perniagaan yang mencabar.
 Tambah beliau, maklum balas yang diterima daripada pegawai-pegawai  kementerian menunjukkan anugerah-anugerah yang diberi kepada PKS-PKS  tempatan diiktiraf oleh pelanggan.
 Ini kerana syarikat-syarikat tersebut telah melalui ujian yang ketat dan sistematik sebelum diangkat sebagai juara.
 Ia sekali gus dapat membantu PKS-PKS ini memasarkan produk dan perkhidmatan masing-masing selain mempromosikan jenama mereka.
No comments:
New comments are not allowed.