KUALA LUMPUR 11 April - Persatuan Pemaju Hartanah Melayu Malaysia  (PPHMM) berharap agar bank dapat memudahkan syarat pinjaman kepada  ahli-ahlinya yang ingin memajukan tanah rizab Melayu.
 Presiden PPHMM, Mohd. Wari Mat Zaki berkata, kesukaran mendapatkan  pinjaman bank telah menjejaskan kelancaran projek pembangunan di tanah  rizab Melayu.
 "Kami berharap agar agensi kerajaan yang terlibat dapat membantu  memudahkan ahli persatuan mendapat pinjaman dan seterusnya memajukan  tanah rizab Melayu untuk membantu orang Melayu menikmati kehidupan yang  lebih baik kerana kami dapat menawarkan harga hartanah yang mampu milik  khususnya kepada orang Melayu itu sendiri," katanya.
 Tanah rizab Melayu yang susut nilai sebanyak 20 peratus telah  menyebabkan bank susah untuk meluluskan pinjaman kepada pemaju  bumiputera, katanya.
 Mohd. Wari berkata, PPHMM menganggarkan nilai pembangunan tanah rizab  Melayu sekitar RM5 bilion dan dari jumlah itu RM1 bilion terdapat di  sekitar Lembah Klang.
 "Nilai yang besar ini dapat diagihkan kepada para pengusaha  Bumiputera seperti kontraktor kecil jika bank dapat melonggarkan syarat  pinjaman kepada ahli persatuan.
 "Jika hal ini dapat direalisasikan, kami mejangkakan dalam masa dua  tahun nilai kasar pembangunan yang bernilai RM1 bilion dapat  diselesaikan," kata Mohd Wari pada satu sidang media di sini hari ini.
 Selain itu, PPHMM juga berharap agar dana dan projek perumahan dari  kerajaan dapat diserahkan kepada persatuan supaya persatuan dapat  mengagihkan kepada ahli-ahlinya yang layak dan persaingan sihat dapat  diamalkan.
 "Kami juga mohon agar PPHMM ini dapat diletakkan dibawah seliaan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kami dapat bersaing  dengan syarikat besar seperti syarikat Kerajaan dan seterusnya dapat  memajukan para pemaju Bumiputera," katanya. - BERNAMA